21 May 2011

Azraai hambur pujian keringat anak didik




SELEPAS tertekan dengan persembahan tidak konsisten anak buahnya, Mohd Azraai Khor Abdullah kembali lega apabila Negeri Sembilan meraih mata penuh dengan membenam Johor FC 2-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, kelmarin.

Kata pengendali itu, walaupun tidak dapat menurunkan barisan terbaik berikutan masalah kecederaan beberapa pemain utama, barisan yang ditampilkan kelmarin mampu memikul tugas dengan cemerlang selain bijak memanfaatkan peluang.
“Syukur, impian memungut tiga mata di halaman sendiri tercapai dan pujian berhak diberikan kepada setiap pemain yang berusaha keras sejak awal permainan terutama penjaga gol, Mohd Farizal Marlias yang menafikan sepakan penalti Shahrizal Mohd Saad.

“Kemenangan ini membolehkan kami memperbaiki kedudukan dalam liga dan berharap ia menyuntik semangat kepada pemain untuk terus bermain cemerlang pada perlawanan akan datang,” katanya.

Negeri Sembilan membuka tirai jaringan menerusi Shahurain Abu Samah pada minit ketujuh dan Shukor Adan (m-38) manakala Johor FC merapatkan jurang menerusi Mohd Riduwan Ma`on (m-51).

Bekas pengendali kebangsaan dan Kedah itu mengakui, strategi menggunakan gandingan Hairuddin Omar dan Shahurain menjadi apabila mereka dapat membolosi benteng lawan tetapi gandingan Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Irwan Fadli Idrus di benteng pertahanan masih longgar.

“Apapun saya berpuas hati dan kami akan memperkemaskan lagi kekuatan menjelang pertemuan dengan Terengganu nanti,” katanya.

10 May 2011

Kelantan yakin ratah anak didik Azraai

KELANTAN harus mengutip mata penuh apabila menentang Negeri Sembilan di Paroi, malam ini andai berpandu kepada hakikat betapa perit cabaran tuan rumah yang bakal turun tanpa lapan pemain tonggak dalam saingan Liga Super.

Ketika Red Warriors mengejar mata untuk mengekalkan status pendahulu segala-galanya tampak memihak pasukan dari pantai Timur itu yang berada pada tahap terbaik dan Negeri Sembilan pimpinan Azraai Khor Abdullah perlu menggandakan usaha menyekat gempuran pelawat yang harus mengganas malam nanti.

Apapun, ketua jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu menganggap pertembungan dengan skuad Rusa di Stadium Tuanku Abdul Rahman bukan satu halangan mudah bagi mereka.

Sambil mengharapkan kerja keras anak buahnya, pengendali yang membantu Kelantan menjuarai Piala Sumbangsih, awal musim ini tidak memandang mudah keupayaan tuan rumah.

“Walaupun aksi Negeri Sembilan tidak begitu konsisten tetapi mereka ada ramai pemain berpengalaman dan kebolehan mereka tidak boleh dipandang mudah.
“Saya tetap menjangkakan saingan sengit dari lawan nanti, apa lagi beraksi di halaman sendiri,” katanya, semalam.

Azraai jelas gelisah apabila menyuarakan pemain dalam senarai kecederaan itu termasuk penyerang, Hairuddin Omar, Ahmad Fakhri Saarani, Mohd Firdaus Azizul dan pemain tengah, G Mahathevan.
Tanpa banyak pilihan dia terpaksa bergantung kepada beberapa pemain senior, antaranya Mohd Shukor Adan, Shahurain Abu Samah, S Kunalan, Qairul Anwar Roslani dan Irwan Fadli Idrus.

“Saya juga akan menurunkan beberapa pemain muda dari skuad Piala Presiden dalam usaha menguatkan lagi kekuatan jentera pasukan kerana kita menyedari tanggungjawab berat bakal dihadapi berikutan reputasi Kelantan yang membariskan ramai berwibawa,” katanya.

Negeri Sembilan vs Kelantan

Karathu: N. Sembilan ada kelebihan

KOTA BHARU - Berbekalkan rekod tanpa kalah, peneraju Liga Super, The Red Warriors akan berkunjung ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini bertemu Negeri Sembilan.

Bertandang ke gelanggang lawan bukanlah satu tugas yang mudah buat barisan bimbingan Datuk M. Karathu untuk menjinakkan tuan rumah biarkan dimalukan Sabah 0-2 sebelum ini.

Selain berusaha mendapatkan tiga mata, The Red Warriors pastinya mahu meneruskan rentak kemenangan dalam usaha mengukuhkan cengkaman di puncak liga.

Karathu mengakui pertembungan dengan Negeri Sembilan bukan sesuatu yang mudah.

"Bermain di tempat lawan, kita kena pamer satu semangat yang tinggi, mereka pasti akan turun bermati-matian selepas kecundang dengan Sabah tempoh hari. Menewaskan Kelantan adalah impian setiap pasukan, jadi kita tidak boleh ambil mudah dalam perlawanan malam esok (hari ini).

"Apa yang penting, kita kena kekalkan momentum kemenangan, menang di tempat lawan adalah satu motivasi yang baik buat Kelantan. Beraksi di tempat lawan kita baru menang sekali, itupun ketika menewaskan Johor FC, saya harap kita boleh menang. Menang dengan Negeri Sembilan adalah tonik baik buat kita sebelum bertemu Selangor dalam Piala FA," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

03 May 2011

Azraai resah lapan tonggak skuad NS cedera

Oleh Mohd Amin Jalil

2011/05/03
NEGERI Sembilan yang menanti kunjungan Perak dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi malam ini, berdepan tugas berat apabila tidak dapat menurunkan barisan terbaik susulan beberapa kecederaan pemain.

Ketua jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah yang mengesahkan perkembangan itu berkata, sekurang-kurangnya lapan pemain tidak dapat diturunkan termasuk perancang tengah Idris Karim dan dua penyerang utama, Hairuddin Omar dan Ahmad Fakhri Saarani, selain Ahmad Aminuddin Shaharuddin, Tengku Qaiyum Ubadilllah dan Abdul Halim Zainal.
Sehubungan itu, dia terpaksa menyandarkan harapan kepada penyerang muda Mohd Firdaus Azizul, Mohd Shaffik Abd Rahman dan dua pemain skuad Piala Presiden, Mohd Fiqri Adwan dan Mohd Khairul Ridzuan, untuk menerajui barisan depan.
“Persiapan bertemu Perak malam esok (malam ini) terjejas kerana lapan pemain utama tidak dapat beraksi dan saya terpaksa menggunakan khidmat pemain muda skuad Piala Presiden.

“Kehadiran Asmawi Hassan dalam pasukan juga diragui kerana dia belum mencapai tahap kecergasan tinggi tetapi dia masih berada dalam perancangan saya.

“Apa yang saya harapkan ialah pemain senior seperti Shukor Adan, Shahurain Abu Samah dan S Kunalan dapat memainkan peranan lebih berkesan untuk menggerakkan permainan pasukan dan memastikan kelebihan di halaman sendiri tidak disia-siakan,” katanya semalam.

Menurut Azraai, dia tidak mahu pasukan yang mula dibimbing 22 Mac lalu, dilabelkan sebagai pakar seri selepas mengutip satu mata hasil pertemuan dengan Harimau Muda A dan terbaru FELDA United FC.
“Saya berharap pemain tidak merendah diri atau terlalu menghormati lawan, sebaliknya perlu fokus sepanjang 90 minit permainan dan berusaha mencipta peluang diterjemah kepada jaringan. Kelebihan tempat sendiri ini perlu dimanfaatkan dengan tiga mata penuh,” katanya.