18 September 2012

Tiada Siapa Dapat Hentikan Budaya Ini

SEREMBAN : Peniaga-peniaga kecil yang menjual vuvuzela , air-horn dan mini vuvuzela mempersoalkan tindakan FAM yang melarang penyokong-penyokong di Malaysia untuk membawa masuk alat-alat budaya itu ke dalam stadium.

'Jika kami tak jual , bagaimana kami mahu menjana pendapatan? FAM sepatutnya tidak perlu mengganggu periuk nasi orang' , kata Rahim yang ditemui menjual alat-alat budaya itu di tempat letak kereta Stadium Tuanku Abdul Rahman ketika perlawanan Negeri Sembilan menentang Felda United.

Berdasarkan tinjauan yang dibuat , masih ramai lagi membawa alat budaya itu masuk ke dalam stadium tanpa ditahan pihak berkuasa yang mengawal pintu masuk ke dalam stadium itu.

'Budaya ini unik. Kami menginovasikan alat budaya di Afrika dengan budaya di Malaysia. Jika anda lihat , vuvuzela yang panjang dikecilkan agar mudah dibawa ke mana-mana. Saya harap pihak IKS dapat melihat inovasi ini sekaligus memberi sokongan kepada kami untuk mengembangkan lagi perniagaan ini' , tambah Rahim.

Budaya ini mungkin dapat dihentikan sekiranya Presiden FAM yang baru menggubal undang-undang stadium dan perkara-perkara yang lain.

Akhir kata , jika seorang isteri cepat muak melihat perabot rumah yang baru bertukar , bayangkan perasaan rakyat dan penyokong bolasepak Malaysia yang sudah muak dengan seorang Presiden yang sudah lama berhabuk dan tidak bertukar.