10 May 2011

Kelantan yakin ratah anak didik Azraai

KELANTAN harus mengutip mata penuh apabila menentang Negeri Sembilan di Paroi, malam ini andai berpandu kepada hakikat betapa perit cabaran tuan rumah yang bakal turun tanpa lapan pemain tonggak dalam saingan Liga Super.

Ketika Red Warriors mengejar mata untuk mengekalkan status pendahulu segala-galanya tampak memihak pasukan dari pantai Timur itu yang berada pada tahap terbaik dan Negeri Sembilan pimpinan Azraai Khor Abdullah perlu menggandakan usaha menyekat gempuran pelawat yang harus mengganas malam nanti.

Apapun, ketua jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu menganggap pertembungan dengan skuad Rusa di Stadium Tuanku Abdul Rahman bukan satu halangan mudah bagi mereka.

Sambil mengharapkan kerja keras anak buahnya, pengendali yang membantu Kelantan menjuarai Piala Sumbangsih, awal musim ini tidak memandang mudah keupayaan tuan rumah.

“Walaupun aksi Negeri Sembilan tidak begitu konsisten tetapi mereka ada ramai pemain berpengalaman dan kebolehan mereka tidak boleh dipandang mudah.
“Saya tetap menjangkakan saingan sengit dari lawan nanti, apa lagi beraksi di halaman sendiri,” katanya, semalam.

Azraai jelas gelisah apabila menyuarakan pemain dalam senarai kecederaan itu termasuk penyerang, Hairuddin Omar, Ahmad Fakhri Saarani, Mohd Firdaus Azizul dan pemain tengah, G Mahathevan.
Tanpa banyak pilihan dia terpaksa bergantung kepada beberapa pemain senior, antaranya Mohd Shukor Adan, Shahurain Abu Samah, S Kunalan, Qairul Anwar Roslani dan Irwan Fadli Idrus.

“Saya juga akan menurunkan beberapa pemain muda dari skuad Piala Presiden dalam usaha menguatkan lagi kekuatan jentera pasukan kerana kita menyedari tanggungjawab berat bakal dihadapi berikutan reputasi Kelantan yang membariskan ramai berwibawa,” katanya.

No comments:

Post a Comment