14 February 2011

TRIP KE IPOH BERSAMA ULTRAS NO9ORI

BUKAN SEKADAR MELEPAS BATUK DI TANGGA
12hb Februari, maka hari yang dinantikan telah pun tiba, pada tarikh ini segala perancangan selama 2 minggu akan diterjemahkan. Seawal jam 9 pagi sudah kelihatan beberapa Orang ahli kumpulan telah pun berada di sekitar Hentian Komuter Seremban. Hari ini mereka akan ke Kuala Lumpur bagi menyertai beberapa rakan-rakan yang lain merealisasikan “Trip ke Ipoh bersama Ultras No9ori”.

Di kL sentral pula sekumpulan lagi rakan-rakan berkumpul sekitar jam 11 pagi. Disinilah pertemuan yang bakal membawa Ultras No9ori ke Ipoh menaiki kereta api jam 12.40 tengahari. Sebelum berangkat Ustaz Dinie sempat membaca doa meminta keizinan dari Yang Maha Esa bagi memudahkan perjalanan kami. Perjalanan selama hampir 3 jam ini di isi dengan sedikit latihan chants dan juga beberapa aktiviti yang terlibat dalam perancangan sebelum ini.. Kerjasama 100% telah diberikan oleh semua yang terlibat.

Apabila sampai di Ipoh, kehadiran kami telah pun dinantikan oleh wakil dari Silver State Ultras. Wakil ini telah membantu kami dgn menyediakan sebuah bas sebagai pengangkutan untuk ke Stadium pergi dan balik. Sempat juga kami merakam gambar sebagai kenangan apabila berada di Stesen Kereta api Ipoh tersebut.

Apabila sampai di Stadium Ipoh pula kami mencari kedai makan untuk mengalas perut. Alhamdulillah, layanan yang diberikan oleh peniaga-peniaga disana amat memuaskan dan harga yang dikenakan pula amatlah setimpal dengan makanan yang disediakan. Semasa mencari tempat untuk berehat sambil membuat latihan chants kami terserempak dengan wakil N9KINI, mereka sempat mengambil beberapa keping gambar kami untuk dimuatkan ke dalam web mereka.

Setelah selesai pembelian tiket ( terima kasih buat kelab penyokong Perak), kami telah pun berkumpul di hadapan pintu masuk grandstand iaitu dengan matlamat menunggu ketibaan Pasukan Negeri Sembilan. Keadaan yang sepi tiba-tiba menjadi medan pertempuran chants, saudara- saudara kami dari Silver State Ultras telah datang memberi ucapan Selamat Datang melalui chants sambil kami membalasnya pula. Sungguh meriah keadaan ketika itu, kami berpelukan dalam kegembiraan kerana suasana begini tidak pernah kami alami sebelum ini.

Bunyi dari siren polis telah kedengaran, ini menandakan yang pasukan kesayangan kami telah pun tiba. Kami berkumpul di hadapan pintu masuk dan apabila pintu bas dibuka kami chants bagi menyambut pahlawan-pahlawan kami dengan nyanyian yang membangkitkan semangat mereka.

Sebelum perlawanan dimulakan kami telah pun bersiap sedia mengantung banner dan berdiri dikelompok rakan-rakan kami. Terdapat juga beberapa individu yang hadir dengan alternatif sendiri yang menyertai kelompok kami. Seperti Biasa 90 minit berdiri dan menyanyi tanpa henti kerana itu adalah cara kami memberi sokongan.

Walau pun kalah dalam perlawanan tersebut sedikit pun tidak menjejaskan semangat kami, di luar stadium kami masih lagi sempat meraikan pemain-pemain Negeri Sembilan apabila mereka menaiki bas untuk pulang. Fenomena ini disaksikan oleh sekumpulan penyokong-penyokong Perak dan juga saudara-saudara kami dari Silver State Ultras. Sempat juga kami berbalas-balas chants dengan Silver State Ultras sebelum meminta diri untuk beredar dari perkarangan Stadium.

Oleh kerana masih banyak lagi masa kerana tiket yang kami beli untuk pulang ke kL sentral hanya akan bertolak jam 4.40 pagi, kami sempat menikmati makanan di Bandaraya Ipoh. Terima kasih buat Saudara Hafis yang telah membayar makanan dan minuman kami. Semoga Allah membalas segala budi baik mereka yang telah membantu  kami sepanjang kami berada disana. Selepas itu kami berkumpul pula di hadapan Stesen kereta api Ipoh, terdapat sebuah taman dihadapan bangunan tersebut. Ada diantara kami yang sempat merehatkan badan dan ada juga yang sibuk berbual-bual hinggalah sampai saat kami perlu menaiki kereta api untuk pulang ke Kuala Lumpur. Sedih rasanya meninggalkan Bandaraya Ipoh, kerana sejarah telah pun kami cipta disana (fist away games with Ultras No9ori).

Tepat jam 7.30 pagi 13hb kami semua selamat sampai ke kL sentral. Sebelum berpisah kami sempat menikmati sarapan pagi bersama sama. Inilah perjalanan kami, inilah usaha kami. Biar pun penat tapi ini lah yang kami cari selama ini. Usahasama/ kerjasama ,berganding bahu, suka ria mahu pun kesedihan dan susah atau pun senang demi Negeri tersayang.

No comments:

Post a Comment