09 March 2011

Kelebihan memihak Malaysia

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN


PENJARING gol pasukan negara pada perlawanan pertama, Wan Zaharulnizam atau Kecik menjadi antara pemain pilihan Ong Kim Swee pada aksi kedua kelayakan Olimpik menentang Pakistan di Lahore, hari ini.


KUALA LUMPUR – Jika prestasi perlawanan pertama di Shah Alam dijadikan penilaian, skuad negara memiliki segala ramuan yang diperlukan untuk memenangi perlawanan kedua kelayakan Olimpik menentang Pakistan di Lahore, hari ini.
Kualiti teknikal yang ada pada pemain dan kepantasan melakukan serangan balas merupakan dua senjata utama yang boleh memadamkan keazaman tinggi Pakistan yang berhajat memadam defisit dua gol yang dibawa Malaysia ke Lahore.
Cuma suhu sejuk di Lahore mungkin merencatkan sedikit gerakan anak-anak buah Ong Kim Swee serta keadaan permukaan padang di stadium yang masih menjadi tanda tanya.
Namun, masalah itu pantas dinafikan oleh jurulatih berasal dari Melaka itu.
“Pemain saya boleh membiasakan diri dalam apa jua keadaan cuaca kerana hampir mereka semua pernah beraksi di Slovakia, yang suhunya jauh lebih sejuk, cuaca sejuk di Lahore bukan masalah.
“Mengenai permukaan padang, saya masih belum pasti kerana belum berpeluang melakukan tinjauan kerana jadual latihan agak lewat iaitu pada pukul 8 malam (11 malam waktu Malaysia), tetapi saya bersedia menerima apa jua kemungkinan.
‘‘Selain itu, walaupun berdepan kawalan keselamatan yang ketat di sini sehingga tidak dibenarkan keluar secara bersendirian, ia tidak mengganggu tumpuan serta mental para pemain bagi menghadapi perlawanan esok,’’ katanya ketika dihubungi semalam.
Malaysia yang mendahului 2-0 secara agregat melalui jaringan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Mohd. Irfan Fazail pada perlawanan pertama, kemungkinan akan menyandarkan harapan kepada Ahmad Fakri Saarani sebagai penyerang tunggal dengan Kim Swee meletakkan lima pemain di bahagian tengah dengan formasi 4-2-3-1.
Irfan kemungkinan akan menjadi pembantu penyerang kepada Fakri sambil dibantu Mohd. Fandi Othman atau Syahrul Azwari dan Wan Zaharulnizam yang lebih dikenali sebagai Kecik di bahagian sayap manakala K. Gurusamy dan S. Sivanesan mengemudi bahagian tengah.
Sementara itu, buat para pemain muda negara, kata-kata semangat Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah harus dijadikan panduan yang mahukan skuad Olimpik Malaysia mara ke pusingan kedua.
‘‘Kita sebenarnya bermain dengan baik semasa di sini cuma nasib sahaja yang tidak menyebelahi kita. Saya yakin kita mampu menang di Pakistan dan mara ke pusingan seterusnya, ” ujarnya.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek pula berharap para pemain menjaringkan gol awal bagi menutup ruang kepada lawan untuk bangkit sebagaimana ditunjukkan oleh pasukan senior pada Piala AFF ketika berdepan Indonesia pada perlawanan akhir timbal balik kedua di Jakarta.

Artikel dari: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment